Baru ni gempar dengan satu kes daripada sahabat yang dah kami kenal selama lebih dari 5 tahun. Bukan baru kenal sebulan dua. Tidur baring pun dah pernah bersama. Apatah lagi makan sepinggan. Dia diuji dengan satu kisah sadis yang sangat menyayat hati dimana, diri I sendiri pernah mengalaminya. Hanya Allah yang tau perit dan seksa dijiwanya. Dan kami, orang luar yang pernah menyaksikan kebahagiaannya selama ini hanya dapat memandang dan membantu sepenuh hati kami untuk mengurangkan bebannya.
Sahabatku, saya tidak berada dalam keadaan awak, saya tidak berdiri di atas kaki awak dan saya tidak hidup di dalam dunia awak. Tapi saya tau perasaan awak ketika ini. Dengan kesungguhan hati awak untuk meneruskan hubungan yang kian hancur, saya pernah melalui segala keperitan itu. Tiada kata lain yang dapat saya ucapkan hanya, Allah sayang kita. Jangan pernah lupa janjiNya. Dugaan berat hanya pada orang yang kuat dan tabah seperti kita, yang mampu menghadapinya. Kerana Allah tahu dan Dialah yang mengaturnya semua untuk kita. Semuanya sudah tertulis. Sebagai hamba yang lemah, kita harus melaluinya sekuat yang mungkin.
Berbekalkan iman di dada dan akal fikiran yang dikurniakan, awak hadapilah semua dengan redha. Dia, yang awak tunggu bukanlah yang terbaik walaupun dia pernah membahagiakan awak. Dia, yang awak sayangi bukanlah pencinta yang setia. Dia, yang awak rindui, telah hanyut dengan dunianya sendiri. Yang tanpa awak sedar, dialah penyebab yang akan mendekatkan lagi awak dengan Pencipta kita semua, langit dan bumi. Tanpa dia, buku kehidupan awak akan kosong. Pengalaman awak hanya setahun jagung. Tapi dia telah mengisi warna dalam kehidupan awak. Allah telah mengirimkannya pada awak dan kita semua untuk menguji setiap insan disekeliingnya.
Saya bukan sahabat yang baik untuk membahagiakan awak sepanjang masa dan saya bukan insan yang begitu mulia untuk didukung semua kata-kata saya adalah benar semata. Awak sendiri mencorakkan kebahagiaan awak. Awak sendiri yang akan memberi kemanisan kepada semua di sekeliling awak. Kerana awak saja yang ada kekuatan itu. Kami, sahabat-sahabat awak hanyalah insan yang kerdil dan kami hadir memberi sokongan kepada awak agar tidak pernah hanyut dan leka dengan kesempitan ini. Pelangi tetap akan muncul suatu hari nanti sesudah hilangnya ribut. Percaya, Qada' dan Qadar sudah ditentukan untuk awak. Masanya juga sudah ada tapi awak jangan pernah menyesali semua masa silam awak. Itu semua panduan bagi kita untuk terus hidup di dunia bagi mencapai kebahagiaan di syurga kelak.
Saya, berdiri hari ini kerana Allah, tersenyum juga hari ini kerana Allah dan menikmati bahagia daripada Allah. Saya, pernah tersungkur kerana nikmat yang ditarik Allah, pernah terduduk meratapi kesedihan dan pernah 'mati' rasa dan jiwa kerana tipisnya iman. Telah hadir satu kekuatan, yang dibisikkan Allah supaya saya terus bangun dan berjalan dan berlari dan membebaskan saya dari belenggu itu. Telah hadir sang pelangi yang mewarnai segala hitam putih di dalam buku mewarna saya. Telah tiba juga hari dimana saya bangun dengan satu semangat, Islam bukan satu agama yang akan melemahkan umatnya tapi Islam mengangkat umatnya supaya lebih bersedia jika ada kemungkinan yang bakal merobek keindahan yang telah kita kecapi. Syukurlah ya Allah, dengan segala pinjaman dan nikmat dariMu.
Awak bangunlah, dari mimpi ngeri itu. Awak bangkitlah dari kejatuhan yang menyeksakan jiwa. Awak berjalanlah, mencari yang hakiki kerana Dialah yang akan membawa awak berlari selaju mungkin untuk meninggalkan bayang-bayang hitam yang mengganggu kewarasan awak. Percayalah, saya mula belajar redha. Pandanglah semua, ada insan yang lebih sakit jiwanya dari kita, ada insan yang lebih teruk lukanya dari kita, ada insan yang lebih parah kekecewaannya dari kita. Bersabarlah, kerana sifat terburu-buru itu akan mengundang kehancuran.
Doa saya kepada awak, sujudlah pada yang satu, ucapkanlah syukur pada segala nikmat dan taubatlah pada segala kekhilafan. Sesungguhnya, berimanlah kepada Allah, berbuat baiklah pada semua kerana kemudian hari nanti ada kemanisan yang akan awak terima. Jangan menangis, akan lemahlah jiwa awak nanti. Jangan meratap lagi, kecuali bila memohon dariNya.
Ya Allah, peliharalah kami dari semua kemungkaran yang tak mampu kami hadapi. Ampunilah segala kesalahan dan dosa kami. Berilah kami kesejahteraan dunia dan akhirat permudahkanlah semua urusan kami. Kau kuatkanlah keimanan dan ketaqwaan kami, Kau peliharalah aqidah kami agar tidak terpesong dan tersesat dari jalanMu. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, kurniakanlah kami kesabaran yang tinggi, agar dimudahkan segala dugaan yang Kau berikan kami dapat hadapi dengan tenang dan kuat.....
Sahabatku, berdoalah. Kerana Allah selalu mendengar dan melihat setiap perbuatan kita tak kira masa.
Amin Ya Rabbal Alamin.
*sobss.. Sobss.. Menangis, bila ada insan senasib dengan I.. Moga Allah pelihara sahabat kami itu...*
No comments:
Post a Comment