I menulis disini kerana terpanggil dengan beberapa tohmahan orang luar pada jabatan-jabatan Kerajaan yang menyatakan betapa tidak efektif dan efisien jabatan-jabatan ini dalam aspek berurusan. Semua jabatan Kerajaan terkena tempiasnya. Lebih-lebih lagi hospital Kerajaan yang menghadapi saingan dengan hospital-hospital dan klinik-klinik swasta yang tumbuh bagai cendawan di Malaysia. Lebih lagi ditambah dengan syarikat-syarikat insurans yang menawarkan pelbagai jenis perlindungan dan yang lebih terkenal sekarang ialah Medical Card. Setiap hari akan ada saja panggilan telefon yang menawarkan insurans.
Sebagai kakitangan kerajaan yang hanya mempunyai polisi insurans perlindungan nyawa dan kecacatan kekal sahaja, I memang berharap sepenuhnya kepada hospital Kerajaan yang menawarkan perkhidmatan percuma khusus kepada penjawat awam yang mempunyai perbelanjaan yang agak terhad berbanding gaji di swasta. Bukan semua, tapi I percaya sesetengah penjawat awam sependapat dengan I.
Banyak rungutan dengan menyatakan betapa rendahnya taraf perkhidmatan pelanggan di hospital Kerajaan. Mama adalah salah seorang kakitangan Hospital Kuala Lumpur yang telah berpencen. Sepanjang perkhidmatan Mama, kami sekeluarga memang menjadi pengunjung tetap hospital Kerajaan. Di samping harga yang sangat murah, tahap kepakaran pakar-pakar di hospital Kerajaan adalah memuaskan sepanjang I menikmati perkhidmatan di sini. Ini yang terbaik, untuk keluarga kami. Kami bukan keluarga yang berkemampuan untuk ke hospital dan klinik swasta bagi mendapatkan rawatan. Setakat hospital Kerajaan dan kami masih bernafas sehingga sekarang.
Setakat ni sudah 2 kali I dimasukkan wad di hospital Kerajaan. Pengalaman semuanya berlainan. Cuma bila terjadi ketidaksabaran sesetengah pihak akan mula melenting dan menyalahkan hospital Kerajaan yang tidak cekap. Alhamdulillah, layanan yang I terima tidak kurang hebatnya. I juga pernah dibedah dan semuanya berjalan lancar. Berserah kepada Allah, itu yang termampu buat kami.
Baru-baru ini, I telah ke HTJS bagi mendapatkan rawatan Pakar O&G. Agak lewat I keluar dari pejabat kira-kira jam 8.20 am sedangkan temujanji pada jam 9.30 am. Dalam hati gundah gulana tak menentu dan risau akan mengalami kelewatan. Lagi sekali, berserah. Tiba di kaunter pendaftaran kelihatan orang ramai yang sudah mendaftar. Dalam hati berbisik, sempatkah? Jangan disalah anggap sekiranya kita sendiri tidak mengalaminya. Walaupun bilangan menunggu ialah seramai 46 orang tapi atas kecekapan petugas kaunter yang ramai pada waktu puncak semuanya berjalan lancar. Nombor dipanggil berturut-turut dan perkhidmatan diberikan semesra dan secepat yang mungkin. Terima kasih. Sekejap sahaja urusan di Kaunter Pendaftaran dan selesai sudah urusan menyerahkan Guarantee Letter (GL), iaitu pengesahan menyatakan I adalah kakitangan Kerajaan dan layak mendapat perkhidmatan secara percuma.
Di Klinik O&G pula, I terus ke Ruang Temubual setelah selesai mendaftar. Lagi sekali, selesa dan nurse melayan adalah mesra, seolah memahami gulana di hati... Selesai ditemubual, I menunggu lagi tidak sampai 10 minit jugak nombor sudah dipanggil. Semua kesabaran akan ada ganjaran sekiranya kita redha. Cuma tak perlu gelojoh. Melainkan kemampuan itu tinggi dan rasa diri sangat layak untuk dilayan sesempurna yang mungkin. Cuma ingin diperbetulkan disini, bahawa perkhidmatan daripada hospital Kerajaan adalah tidak seburuk yang disangka. Jika teruk, kenapa masih ramai yang memerlukan khidmat hospital-hospital Kerajaan sehingga penuh Kaunter Pendaftaran. Tidak kiralah di hospital ataupun Klinik Kesihatan.
Kalau ditanya pada empunya diri ini, tidak dinafikan semua perkara pasti ada sedikit cacat cela yang tidak akan dapat dielakkan. Tiada yang sempurna di dunia ini. Jangankan ada kecuaian di hospital Kerajaan, kes yang di hospital swasta pun ada juga. Bezanya bila cerita itu di war-warkan atau tidak.
Memang pakar terbaik di seluruh semesta ni hanya Allah SWT. Yang penting berserah. Bertawakal. Bila ada kemudahan yang baik, gunakanlah sebaik mungkin. Bila mana kita dah berhabis setiap bulan lebih kurang RM100 ++ bagi membayar harga polisi, maka gunakanlah ia. Jangan yang hanya mampu setakat itu sahaja tak mahu mengukur baju di badan sendiri. Dan jangan yang mempunyai kelebihan memandang rendah pada yang agak kurang kemampuannya daripada anda.
Sememangnya rezeki itu dari Allah.
No comments:
Post a Comment